Tuesday, June 30, 2015

APAKAH MAKSUD "AUDIOLOGY" ?

Teks: Ros Atiqah Fatin Abdullah
Foto: Google & persendirian.

Salam & hai semua ! 

  Alhamdulillah berjaya juga untuk menulis entri kedua dalam blog ini. Masa yang Allah beri pada kita adalah sama iaitu 24 jam sehari. Jika kita rasa kita tidak cukup masa untuk menyiapkan banyak tugasan, cuba refleksi diri kita. Mungkin kita ada melakukan kesilapan dalam menguruskan diri dan jadual waktu seharian kita. Ya, saya juga mengalami kesukaran yang sama tetapi sedikit demi sedikit kita cuba untuk berubah menjadi insan yang lebih memanfaatkan masa sebaik mungkin. 

In sha Allah... 

   Baiklah, cukuplah sedikit peringatan untuk diri sendiri dan sahabat yang membaca blog ini tentang masa. Dalam entri ini, saya ingin berkongsi tentang satu pengalaman saya ketika bergelar seorang pelajar Bachelor (Hons) in Audiology. Semasa saya terima tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di UIA, saya ditawarkan dengan kursus pilihan no.3 saya semasa mengisi borang melanjutkan pelajaran. Bila dah nama pun pilihan no.3, itu bermakna saya pun tidak begitu memahami apa kursus ini sebenarnya. Walaupun sedikit kecewa kerana pilihan no.1 saya iaitu kursus "Nutrition and Dietetic" tidak kesampaian, saya cuba berfikiran positif sahaja dan terima seadanya. Saya berpegang pada prinsip hidup "belum cuba, belum tahu" dan sentiasa cuba untuk berfikiran positif. 

  Dalam minggu orientasi pelajar baru, kami dibahagikan mengikut kursus masing-masing. Ketika  sesi pengenalan pelajar bersama pensyarah-pensyarah ini, barulah saya memahami apa maksud "Audiology" dan apa yang akan saya belajar nanti. Ia sangat penting kerana pelajaran ini sedikit sebanyak menentukan hala tuju hidup saya selepas ini. 

  "Audiology" berasal dari gabungan perkataan Latin dan Greek yang bermaksud "untuk mendengar". Ia adalah satu bidang Sains yang mengkaji tentang pendengaran, keseimbangan badan, dan penyakit yang berkaitan dengannya. Pelatih atau pengamal perubatan dalam bidang "Audiology" ini dipanggil "Audiologist" atau Pegawai Kesihatan Pendengaran. "Audiologist" adalah pakar dalam mengenalpasti, merawat dan menganalisa masalah pendengaran dan penyakit yang berkaitan dengannya. Namun, ia berbeza dengan doktor pakar perubatan dalam unit Telinga, Hidung dan Tekak (ENT). "Audiologist" dan doktor pakar ENT bekerjasama dalam menyelesaikan masalah kesihatan yang saling berkait rapat menggunakan kepakaran masing-masing. Boleh dikatakan kami macam adik-beradik.  Pensyarah-pensyarah saya juga terdiri daripada "Audiologists" dan doktor pakar ENT. 

Kenangan semasa tahun kedua belajar audiology dan ia kali pertama
saya didedahkan dengan peralatan audiology dalam bilik ujian kedap bunyi.


  Agak merumitkan juga kan? Jadi, apa kerja sebenar "Audiologist" ni? Masih ada yang kurang faham dan mata terkebil-kebil membaca penerangan tadi? Pendek cerita, kami memeriksa, merawat, mencegah dan menganalisa tahap pendengaran dan keseimbangan badan pesakit. Ada yang boleh mendengar dengan baik dan ada yang pekak. Malah, ia mungkin juga berkaitan dengan pelbagai penyakit lain. Itulah rutin seharian kami di klinik-klinik ataupun hospital-hospital kerajaan dan juga swasta. 

  Oleh sebab kerjaya kami sebagai pegawai kesihatan, kami tidak mempunyai uniform seperti jururawat. Pesakit dan orang awam melihat kami sama seperti doktor-doktor perubatan yang lain walaupun kami tidak bergelar doktor. Situasi yang sama berlaku jika "audiologist" bekerja di klinik swasta atau dipanggil sebagai pusat alat bantu pendengaran. Ada juga pesakit-pesakit yang bertanyakan tentang masalah-masalah kesihatan diluar bidang kami. Itu antara kenangan manis bergelar pegawai kesihatan pendengaran. Walaupun kita hanya belajar dalam satu bidang, kita juga harus peka dengan masalah-masalah lain. Ia menjadikan kita seorang yang lebih professional dan fleksibel. Namun, jika ia diluar pengetahuan ilmu kita, jangan pula kita memandai-mandai untuk memberi jawapan yang tidak pasti kerana ia mungkin membahayakan nyawa pesakit. Biasanya, saya akan menjawab dengan jujur sahaja pada pesakit yang bertanyakan soalan diluar bidang saya. 



Contoh ujian ke atas kanak-kanak dibawah 5-6 tahun.
   Kerjaya di bidang kesihatan ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Terdapat sesetengah mentaliti masyarakat yang sering mengatakan, "anak saya tak dapat sambung belajar di universiti, dia belajar kolej kursus jururawat jer." Tahukah anda betapa besarnya tanggungjawab seorang jururawat atau sesiapa sahaja di dalam bidang kesihatan dan perubatan ini? Ini kerana kami seolah-olah "bermain" dengan nyawa manusia. Oleh sebab itu, bakal lepasan SPM yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kesihatan dan perubatan, tidak kira kursus apapun, ikhlaskan hati dan banyak bersabar. Tidak semua orang mampu mengharungi cabaran dalam bidang ini. Ia memerlukan daya fizikal, mental dan emosi yang sangat kental dan kuat. Belajar mencabar dan alam pekerjaan lagi mencabar. Jika kita hanya ingin belajar dalam bidang ini semata-mata untuk senang mendapat pekerjaan, gaji mahal atau memenuhi permintaan ibu dan ayah, fikirkan berkali-kali dan beristikharahlah dengan si Dia. Setiap pekerjaan yang kita lakukan mesti datang dari hati yang ikhlas dan jujur kerana Allah. 

  Saya berasa amat sedih dan kecewa apabila ada beberapa isu yang timbul di laman media sosial yang menunjukkan sikap-sikap kurang professional pelajar dalam bidang kesihatan dan perubatan ini. Ada yang mengadu domba akan tahap tekanan bekerja dan ada yang mendedahkan maklumat peribadi pesakit. Tidak kurang juga kes-kes "buli", maki dan marah dalam kalangan ahli professional dan pelajar. Hal ini hanya menambahkan ketakutan dalam diri seorang pelajar dan melemahkan potensi diri pelajar untuk lebih berkembang maju. Saya juga tidak ketinggalan menerima pengalaman pahit manis dalam bidang ini. Namun, biarkan ia menjadi satu kenangan dan pengalaman dalam melatih diri untuk menjadi insan lebih baik. 

  Kita jumpa di entri seterusnya, saya akan berkongsi lebih terperinci tentang anatomi telinga dan fungsi-fungsinya. 

  Jumpa lagi. 

















Friday, June 26, 2015

PENGENALAN

Teks : Ros Atiqah Fatin Abdullah 

Assalamualaikum semua. 

  Syukur kepada Allah kerana sekali lagi Dia telah membuka satu lagi laluan untuk saya merealisasikan salah satu impian saya. Sudah lama niat dihati untuk mewujudkan sebuah blog tentang ilmu dan pengalaman dalam bidang Audiology yang dipelajari di universiti. Sebelum saya berkongsi panjang tentang Audiology, lebih manis untuk kita berkenalan dahulu. 

1. Latar belakang peribadi. 

  Nama penuh saya ialah Ros Atiqah Fatin Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Ros oleh teman-teman dan Fatin oleh keluarga. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur sehingga berumur 6 tahun. Ketika berumur 7 tahun, keluarga saya berpindah dan menetap di Kota Bharu, Kelantan sehingga kini kerana ibubapa saya berasal dari Kelantan. Pada 26 Mac 2015, usia saya telah menjangkau 26 tahun. Saat saya menulis entri ini, saya telah pulang dari kota metropolitan hampir 2 minggu dan menetap di Kota Bharu. Antara minat saya adalah berniaga, menulis, dan melancong. Saya juga suka membaca buku-buku motivasi, keagamaan, pembangunan diri, bisnes dan pengurusan. 

  Selain kemahiran dalam bidang Audiology yang dipelajari di universiti, saya juga telah mempelajari satu kemahiran baru iaitu pemasaran internet. Bidang pemasaran internet ni masih amat baru untuk saya. In sha Allah sedikit demi sedikit, saya cuba menguasainya. Namun sebenarnya, impian saya adalah untuk menjadi seorang "work at home mother".  

2. Pendidikan. 




  Pendidikan pertama saya bermula di salah sebuah tadika di Subang Jaya dan sekolah rendah dan menengah di Kota Bharu. Selepas tamat SPM, saya telah diterima masuk ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Sains Kesihatan Bersekutu. Selepas tamat 2 tahun di pusat asasi, saya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda dalam bidang Audiology di UIA kampus Kuantan selama 4 tahun. Di sini saya mula mengenali satu dunia yang berbeza iaitu dunia masyarakat yang cacat pendengaran. Sepanjang 4 tahun di UIA, saya telah belajar dan menjalani latihan industri di Klinik Pendengaran dan Terapi Pertuturan UIA, Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Universiti Sains Malaysia bagi melayakkan diri bergelar seorang pegawai kesihatan pendengaran atau lebih dikenali sebagai "audiologist". 

  Dalam masa yang sama, saya memendam minat yang tinggi dalam dunia perniagaan. Ketika cuti semester atau cuti umum, saya cuba memenuhi aktiviti dengan memasuki kursus-kursus perniagaan yang dianjurkan oleh pihak luar. Di UIA kampus Kuantan, tidak banyak kursus berkaitan perniagaan disebabkan kampus Kuantan berfokus pada kursus Sains dan Perubatan. Setelah tamat pengajian di UIA pada Ogos 2013, saya telah ditawarkan bekerja sebagai audiologist di salah sebuah syarikat swasta. Dalam masa yang sama, saya juga tekad untuk terus mendalami ilmu perniagaan, khususnya perniagaan di Internet. Saya telah mendaftar masuk ke kursus separuh masa Diploma Eksekutif Perniagaan Internet dan Media Sosial yang dianjurkan oleh Irfan Khairi Sdn. Bhd. bersama Aeu University. Dalam kursus selama 9 bulan ini, saya telah didedahkan pelbagai strategi dan teknik asas perniagaan internet termasuk email, blog, website, google, facebook, dan youtube. Kursus ini fokus untuk membina perniagaan secara praktikal dan bukan teori semata-mata. 


3. Pengalaman Kerja.

  Saya mula bekerja sebagai audiologist di sebuah klinik Audiology swasta di Shah Alam. Bekerja sambil belajar berniaga sangat mencabar kekuatan minda dan fizikal. Rutin harian saya sebagai audiologist bukan sahaja terhad di klinik dan melayan pesakit yang datang ke klinik tetapi saya juga bertanggungjawab untuk melaksanakan tugasan di hospital-hospital kerajaan dan swasta yang menjadi pelanggan syarikat kami. Tugasan saya juga banyak memerlukan saya bekerja diluar kawasan. Biasanya, ia melibatkan program kesihatan yang dianjurkan pihak kerajaan dan swasta. 

  Bertugas sebagai audiologist di syarikat swasta juga memberi pengalaman yang unik. Syarikat tempat saya bekerja amat prihatin tentang latar belakang setiap pesakit yang menerima pemeriksaan di klinik kami. Terdapat ramai juga pesakit yang kurang mampu untuk membiayai kos pemeriksaan. Malah, ada sesetengah yang hanya datang sekali sahaja ke klinik kerana tidak mampu membayar kos pengangkutan untuk ke klinik dalam sesi pemeriksaan yang berikutnya. Dalam kes-kes tertentu, telah menjadi satu prosedur untuk kami berkunjung ke rumah pesakit dan menjalankan pemeriksaan yang sewajarnya. Tidak semua rawatan yang sesuai dijalankan di rumah atas faktor kebisingan dan kekurangan alat kelengkapan. Ini kerana pemeriksaan pendengaran memerlukan bilik yang kedap bunyi dan peralatan yang lebih terperinci. 

  Rutin harian berjumpa dengan pesakit dan keluarga yang mempunyai masalah pendengaran, saya dapati masih ramai orang terutamanya ibu bapa yang tidak tahu tentang punca-punca dan kesan-kesan daripada masalah pendengaran ini. Kesedaran untuk mencegah dan merawat masalah pendengaran ini masih di tahap yang minima di negara ini. Pengalaman berhadapan dengan banyak keluarga yang terganggu emosi disebabkan masalah pendengaran ini, menguatkan hati saya untuk berkongsi ilmu tentang kesihatan telinga dan pendengaran dengan lebih luas kepada orang ramai, khususnya ibu bapa. Sebagai langkah pertama, saya memilih medium blog ini. 

4. Matlamat 

  Matlamat saya untuk blog ini adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang Audiology agar laman blog ini dapat menjadi sumber rujukan para ibubapa yang mencari maklumat tentang kesihatan telinga dan pendengaran. 

  Idea ini timbul setelah ramai antara ibu bapa yang datang berjumpa saya di klinik audiology, tidak pernah tahu tentang masalah telinga dan pendengaran. Malah, mereka juga tercari-cari sumber rujukan dalam Bahasa Melayu di internet. 

Semoga usaha yang sedikit ini mendapat keberkatan olehNya. 

Jumpa di entri seterusnya.  :)