Wednesday, August 19, 2015

BENARKAH TELINGA LELAKI PEKAK SEBELAH?

Teks : Ros Atiqah Fatin Abdullah
Photo : Google
Sumber rujukan : www.ucsf.edu, greatist.com, WebMD. 

Assalamualaikum.

  Hari ini saya ada kelapangan masa untuk update blog yang agak lama menyepi. Terima kasih pada mentor penulisan saya iaitu Puan Masayu Ahmad kerana tidak putus-putus "support" dan bagi tips motivasi untuk terus menulis.

  2-3 hari ni anda perasan tak, ada satu artikel yang viral di FB yang bertajuk "Telinga Lelaki Pekak Sebelah?". Sebagai Audiologis, sudah tentu ia menarik minat saya untuk membaca artikel itu sampai habis. Artikel tersebut menceritakan kenapa seorang lelaki lambat atau tidak memberi respon kepada panggilan isteri mereka. Untuk sekadar menjadi hiburan bahan bacaan di internet maka artikel itu mampu menghiburkan kita semua.

  Namun begitu, saya terpanggil untuk berkongsi tentang kajian sains yang diulas dalam artikel tersebut tentang "telinga lelaki hanya digunakan sebelah sahaja sama ada kanan atau kiri" kerana ia melibatkan fakta sains tentang telinga. Saya tidak pasti sama ada kajian sains yang dinyatakan sahih atau tidak kerana tiada sumber-sumber rujukan yang dinyatakan di dalam artikel tersebut. 

  Sepanjang pengalaman saya 5 tahun belajar dan bekerja dalam bidang sains kesihatan telinga dan pendengaran, saya belum pernah jumpa sebarang kajian sains yang menyatakan telinga lelaki hanya digunakan sebelah sahaja. Struktur dan fungsi telinga lelaki atau perempuan sama sahaja. Yang berbeza adalah struktur telinga bayi atau kanak-kanak dan orang dewasa. Saya akan berkongsi perbezaan ini pada artikel akan datang. 

  Baiklah, situasi yang digambarkan dalam artikel yang viral itu adalah berkenaan lelaki memberi respon yang lambat atau tidak pedulikan panggilan isteri dan mereka dikatakan pekak sebelah. Apa yang berlaku dalam kes ini adalah otak manusia mempunyai keupayaan untuk menapis bunyi yang mereka nak dengar atau tidak. Ia satu anugerah Allah yang sangat tidak ternilai. 

  Apabila kita berada di tempat yang bising seperti dalam dewan, kelas, atau pusat membeli-belah, otak kita akan fokus pada bunyi yang kita mahu dengar atau penting sahaja. Ia menerangkan bagaimana otak kita mampu fokus mendengar pada percakapan dengan seseorang di dalam situasi yang bising dan menapis bunyi-bunyi yang tidak penting untuk kita dengar pada masa itu. Hal ini dinamakan "Cocktail Party Effect". 

  Cuba bayangkan jika otak kita tidak ada upaya untuk tapis bunyi-bunyi yang kita tak mahu dengar? Seram juga kan? Tidak tenteram hidup kita kerana terlalu banyak bunyi yang kita dengar setiap hari seperti bunyi tv, radio, kenderaan, percakapan manusia, kicauan burung dan macam-macam lagi. Kita tidak akan dapat fokus pada sesuatu perkara. 

  Berbalik pada situasi suami tidak respon pada isteri tadi, apa yang berlaku adalah sejenis kondisi pendengaran yang dipanggil sebagai "Selective Hearing". "Selective Hearing" adalah satu tabiat seseorang untuk memilih atau fokus pada bunyi atau percakapan yang menarik minat mereka untuk dengar sahaja. Situasi ini sangat normal berlaku pada lelaki dan kanak-kanak lelaki. 



  Kebiasaanya yang berlaku, percakapan wanita sering dianggap satu bebelan yang kurang menarik untuk didengar oleh lelaki. Dengan itu, para suami seakan-akan tidak mendengar apa yang dikatakan oleh isteri mereka. Situasi ini sering berlaku sekiranya isteri bercakap dengan suami semasa mereka sedang melakukan kerja-kerja lain. Fokus otak mereka adalah terhadap kerja-kerja yang mereka sedang lakukan. Oleh itu, apa sahaja percakapan yang diutarakan oleh isteri yang mereka rasakan tidak penting untuk didengar akan ditapis. Akhirnya, mereka tidak memberi respon yang diharapkan oleh para isteri. 



  Hal ini menunjukkan bahawa manusia tidak mampu untuk "multi-tasking" iaitu melakukan banyak perkara dalam satu sama. Otak manusia hanya akan fokus pada perkara-perkara yang dirasakan penting pada waktu itu sahaja. Jadi, para isteri harus bijak mengawal keadaan dan memahami keadaan suami sebelum memanggil atau berbual dengan mereka. Hal ini boleh mengelakkan pergaduhan atau perselisihan faham yang mungkin akan terjadi. 



  Setiap isteri sentiasa mengharapkan respon yang baik pada setiap percakapan mereka oleh para suami. Para suami juga harus peka dan menghargai apa yang ingin disampaikan oleh isteri dengan memberi respon yang baik walaupun sekadar menjawab "Ya, saya dengar" atau "okey".  Isteri pula janganlah suka menjerit-jerit memanggil suami dari jauh. Kurang manis dan sopan untuk didengar. 

Kesimpulannya, kajian sains yang menyatakan bahawa telinga lelaki pekak sebelah adalah tidak benar sama sekali. Situasi suami tidak memberi respon pada isteri ini bukan kerana fungsi telinga yang rosak atau pekak tetapi ia lebih kepada keupayaan fungsi otak manusia yang menapis bunyi yang penting atau tidak penting untuk didengar. 

Ada pepatah mat saleh mengatakan, " We hear with ears but listen with brain". Telinga hanya mampu mendengar tetapi otak memahami apa yang kita dengar. 

Jumpa lagi. 

Ikhlas, 

Audiologis yang menulis. 


Wednesday, July 8, 2015

JENIS-JENIS MASALAH PENDENGARAN

Teks : Ros Atiqah Fatin Abdullah 
Foto: Google 

  Pada entri lepas, saya telah menceritakan secara ringkas bagaimana bentuk telinga manusia dan fungsi-fungsinya. Walau bagaimanapun, blog ini bukanlah blog akademik tetapi saya cuba untuk menulis dengan bahasa yang lebih santai dan difahami oleh masyarakat umum terutamanya mereka yang bukan dalam kalangan bidang kesihatan dan perubatan. Walaupun kita tidak belajar Sains Biology di sekolah atau mengambil jurusan kesihatan dan perubatan, tanggungjawab untuk menjaga kesihatan terletak pada diri kita sendiri. Dengan bantuan teknologi hari ini, apa sahaja maklumat sangat senang diperolehi melalui internet. Saya amat terkesan dengan kata-kata Prof. Dr. Muhaya iaitu, "orang bijak merawat penyakit tetapi orang genius mencegah penyakit". Sangat benar apa yang dikatakan oleh Prof. Dr. Muhaya kerana mencegah penyakit itu lebih baik daripada merawat. 

  Baiklah, kita berbalik pada topik entri hari ini iaitu jenis-jenis masalah pendengaran. Masalah pendengaran boleh berlaku disebabkan banyak faktor dan ia memberi kesan yang berbeza-beza. Apabila pesakit datang berjumpa dengan audiologis di hospital atau klinik, tugas utama kami adalah untuk memastikan apakah jenis masalah pendengaran yang dihadapi pesakit. Setelah dikenalpasti jenis masalah pendengaran ini, barulah kami boleh mengesyorkan cara-cara rawatan atau pemeriksaan susulan. 

  3 jenis masalah pendengaran yang utama adalah seperti berikut : 



  • Konduktif (conductive)
Masalah pendengaran konduktif ini berlaku apabila ada kecederaan, kerosakan, atau halangan di bahagian telinga luar dan telinga tengah. Boleh rujuk anatomi telinga disini. Contohnya, gegendang telinga pecah, tahi telinga tersumbat, jangkitan kulat dan sebagainya. Masalah pendengaran konduktif biasanya bersifat sementara dan boleh pulih. 

Contoh kerosakan cuping telinga. Biasanya ia berlaku sejak dari lahir.
  • Saraf (sensorineural) 
Masalah pendengaran jenis saraf berlaku apabila ada kerosakan pada organ telinga dalam (koklea) dan saraf pendengaran yang bersambung ke otak. Biasanya masalah pendengaran jenis saraf bersifat kekal dan memerlukan bantuan alat bantu pendengaran. Masalah pendengaran ini boleh berlaku pada bayi sejak lahir lagi atau kanak-kanak. Contohnya, jangkitan penyakit oleh ibu mengandung, demam kuning (jaundice), jangkitan kuman, kecederaan pada kepala dan sebagainya. Kerosakan saraf telinga juga biasanya berlaku dalam kalangan orang-orang tua disebabkan faktor usia. 

Contoh kanak-kanak memakai implan koklea disebabkan kerosakan organ telinga dalam.
  • Campuran (mixed) = konduktif + saraf
Masalah pendengaran jenis campuran berpunca daripada kedua-dua jenis masalah konduktif dan saraf. Ia mungkin melibatkan kerosakan pada bahagian telinga luar atau telinga tengah beserta telinga dalam. 


  Masalah pendengaran ini boleh berlaku sama ada pada sebelah telinga atau kedua-dua belah telinga pada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ia sangat berisiko kerana masalah pendengaran biasanya berlaku tanpa kita sedar. Masalah pendengaran dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berisiko menyebabkan mereka sukar untuk bertutur dengan baik dan berkemungkinan menjadi bisu. Ini kerana mereka tidak dapat menerima bunyi dengan baik. Ia menyebabkan otak mereka tidak dapat memproses bunyi dan membina kosa kata sejak dari kecil lagi. 

"Kajian menunjukkan lebih 95% kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir adalah datang daripada keluarga yang mempunyai pendengaran normal"

  Namun begitu, ada banyak tanda-tanda untuk mengetahui sama ada anak-anak, ayah atau ibu kita mengalami masalah pendengaran atau tidak. Petanda awal amat penting untuk dijadikan bahan rujukan ibubapa supaya kita dapat melakukan rawatan seawal mungkin untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran. In sha Allah, saya akan berkongsi tentang tanda-tanda masalah pendengaran pada entri seterusnya ;)


Thursday, July 2, 2015

BAGAIMANA KITA BOLEH MENDENGAR MENGGUNAKAN TELINGA?


Teks : Ros Atiqah Fatin Abdullah 
Foto : Google 

Assalamualaikum semua. 

  Adakah anda benar-benar mengenali telinga anda? Dalam entri ini saya ingin berkongsi tentang anatomi telinga manusia dan 3 fungsi utama telinga yang ramai orang biasanya tidak tahu. Teringat pula saya pada satu kata-kata iaitu untuk mengenal Allah, kita mestilah mengenal diri sendiri. Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk belajar tentang sains kesihatan. Ia sekaligus membuka minda saya tentang kebijaksanaan Allah dalam mencipta manusia. 

  

  Gambar rajah telinga ini menunjukkan bahagian-bahagian penting untuk telinga berfungsi dengan baik. Telinga manusia terbahagi kepada 3 bahagian iaitu telinga luar (outer ear), telinga tengah (middle ear) dan telinga dalam (inner ear). 

  • Telinga luar = Cuping telinga (pinna), saluran telinga (ear canal) dan gegendang telinga
  • Telinga tengah = Belakang gegendang telinga, tulang telinga dan saluran Eustachius (Eustachian Tube) 
  • Telinga dalam = Koklea (cochlear) iaitu organ telinga yang berbentuk seperti siput. 
  Setiap bahagian telinga ini mempunyai fungsi yang berbeza-beza bagi memproses bunyi dan membolehkan kita mendengar dengan baik. 

FUNGSI TELINGA & PROSES PENDENGARAN : 

Video menunjukkan proses pendengaran
  1. Untuk bahagian telinga luar, cuping telinga akan menangkap bunyi dari persekitaran dan menghantarkan gelombang bunyi melalui saluran telinga sehingga sampai ke gegendang telinga. 
  2. Apabila gegendang menerima gelombang bunyi, ia akan bergetar. Kemudian, ia menukar gelombang bunyi tadi kepada getaran bunyi. Getaran bunyi akan disalurkan terus ke tulang-tulang telinga di bahagian telinga tengah. 
  3. Getaran bunyi dari telinga tengah akan disalurkan kepada bahagian telinga dalam dan ia diterima oleh organ koklea. Organ koklea ini bersambung dengan saraf telinga iaitu saraf auditori. Dalam organ koklea terdapat sel-sel rerambut telinga. Sel rerambut ini akan menukar getaran bunyi yang memasuki koklea kepada impuls (tenaga)
  4. Sel rerambut akan menghantarkan impuls ke saraf auditori dan seterusnya akan di salurkan ke otak. Otak akan menterjemahkan jenis-jenis bunyi yang kita terima daripada persekitaran. 
  5. Tiub Eustachius (Eustachian Tube) pula bersambung dengan salur tekak dan ia berfungsi untuk menyamakan tekanan dalam telinga. 
  Ada pepatah Inggeris mengatakan, "We hear with ears but listen with brain." Pepatah ini sangat tepat sekali. Ia bermaksud kita boleh mendengar dengan telinga tetapi kita hanya memahami apa yang kita dengar dengan menggunakan otak. Oleh sebab itu, ada sesetengah orang yang mempunyai masalah pendengaran, mereka dapat mendengar bunyi tetapi tidak memahami bunyi tersebut. 

  Fungsi telinga yang saya terangkan di atas sekaligus menunjukkan proses bagaimana kita dapat mendengar bunyi setiap hari. Setiap bahagian telinga ada fungsi mereka tersendiri. Oleh itu, sangat penting untuk kita sentiasa menjaga kesihatan telinga dan juga anggota badan kita. Ini kerana, Allah tidak akan menciptakan sesuatu dengan sia-sia. 

  Bersyukur selalu kerana kita masih boleh mendengar dengan baik hari ini.


  

Tuesday, June 30, 2015

APAKAH MAKSUD "AUDIOLOGY" ?

Teks: Ros Atiqah Fatin Abdullah
Foto: Google & persendirian.

Salam & hai semua ! 

  Alhamdulillah berjaya juga untuk menulis entri kedua dalam blog ini. Masa yang Allah beri pada kita adalah sama iaitu 24 jam sehari. Jika kita rasa kita tidak cukup masa untuk menyiapkan banyak tugasan, cuba refleksi diri kita. Mungkin kita ada melakukan kesilapan dalam menguruskan diri dan jadual waktu seharian kita. Ya, saya juga mengalami kesukaran yang sama tetapi sedikit demi sedikit kita cuba untuk berubah menjadi insan yang lebih memanfaatkan masa sebaik mungkin. 

In sha Allah... 

   Baiklah, cukuplah sedikit peringatan untuk diri sendiri dan sahabat yang membaca blog ini tentang masa. Dalam entri ini, saya ingin berkongsi tentang satu pengalaman saya ketika bergelar seorang pelajar Bachelor (Hons) in Audiology. Semasa saya terima tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di UIA, saya ditawarkan dengan kursus pilihan no.3 saya semasa mengisi borang melanjutkan pelajaran. Bila dah nama pun pilihan no.3, itu bermakna saya pun tidak begitu memahami apa kursus ini sebenarnya. Walaupun sedikit kecewa kerana pilihan no.1 saya iaitu kursus "Nutrition and Dietetic" tidak kesampaian, saya cuba berfikiran positif sahaja dan terima seadanya. Saya berpegang pada prinsip hidup "belum cuba, belum tahu" dan sentiasa cuba untuk berfikiran positif. 

  Dalam minggu orientasi pelajar baru, kami dibahagikan mengikut kursus masing-masing. Ketika  sesi pengenalan pelajar bersama pensyarah-pensyarah ini, barulah saya memahami apa maksud "Audiology" dan apa yang akan saya belajar nanti. Ia sangat penting kerana pelajaran ini sedikit sebanyak menentukan hala tuju hidup saya selepas ini. 

  "Audiology" berasal dari gabungan perkataan Latin dan Greek yang bermaksud "untuk mendengar". Ia adalah satu bidang Sains yang mengkaji tentang pendengaran, keseimbangan badan, dan penyakit yang berkaitan dengannya. Pelatih atau pengamal perubatan dalam bidang "Audiology" ini dipanggil "Audiologist" atau Pegawai Kesihatan Pendengaran. "Audiologist" adalah pakar dalam mengenalpasti, merawat dan menganalisa masalah pendengaran dan penyakit yang berkaitan dengannya. Namun, ia berbeza dengan doktor pakar perubatan dalam unit Telinga, Hidung dan Tekak (ENT). "Audiologist" dan doktor pakar ENT bekerjasama dalam menyelesaikan masalah kesihatan yang saling berkait rapat menggunakan kepakaran masing-masing. Boleh dikatakan kami macam adik-beradik.  Pensyarah-pensyarah saya juga terdiri daripada "Audiologists" dan doktor pakar ENT. 

Kenangan semasa tahun kedua belajar audiology dan ia kali pertama
saya didedahkan dengan peralatan audiology dalam bilik ujian kedap bunyi.


  Agak merumitkan juga kan? Jadi, apa kerja sebenar "Audiologist" ni? Masih ada yang kurang faham dan mata terkebil-kebil membaca penerangan tadi? Pendek cerita, kami memeriksa, merawat, mencegah dan menganalisa tahap pendengaran dan keseimbangan badan pesakit. Ada yang boleh mendengar dengan baik dan ada yang pekak. Malah, ia mungkin juga berkaitan dengan pelbagai penyakit lain. Itulah rutin seharian kami di klinik-klinik ataupun hospital-hospital kerajaan dan juga swasta. 

  Oleh sebab kerjaya kami sebagai pegawai kesihatan, kami tidak mempunyai uniform seperti jururawat. Pesakit dan orang awam melihat kami sama seperti doktor-doktor perubatan yang lain walaupun kami tidak bergelar doktor. Situasi yang sama berlaku jika "audiologist" bekerja di klinik swasta atau dipanggil sebagai pusat alat bantu pendengaran. Ada juga pesakit-pesakit yang bertanyakan tentang masalah-masalah kesihatan diluar bidang kami. Itu antara kenangan manis bergelar pegawai kesihatan pendengaran. Walaupun kita hanya belajar dalam satu bidang, kita juga harus peka dengan masalah-masalah lain. Ia menjadikan kita seorang yang lebih professional dan fleksibel. Namun, jika ia diluar pengetahuan ilmu kita, jangan pula kita memandai-mandai untuk memberi jawapan yang tidak pasti kerana ia mungkin membahayakan nyawa pesakit. Biasanya, saya akan menjawab dengan jujur sahaja pada pesakit yang bertanyakan soalan diluar bidang saya. 



Contoh ujian ke atas kanak-kanak dibawah 5-6 tahun.
   Kerjaya di bidang kesihatan ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Terdapat sesetengah mentaliti masyarakat yang sering mengatakan, "anak saya tak dapat sambung belajar di universiti, dia belajar kolej kursus jururawat jer." Tahukah anda betapa besarnya tanggungjawab seorang jururawat atau sesiapa sahaja di dalam bidang kesihatan dan perubatan ini? Ini kerana kami seolah-olah "bermain" dengan nyawa manusia. Oleh sebab itu, bakal lepasan SPM yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kesihatan dan perubatan, tidak kira kursus apapun, ikhlaskan hati dan banyak bersabar. Tidak semua orang mampu mengharungi cabaran dalam bidang ini. Ia memerlukan daya fizikal, mental dan emosi yang sangat kental dan kuat. Belajar mencabar dan alam pekerjaan lagi mencabar. Jika kita hanya ingin belajar dalam bidang ini semata-mata untuk senang mendapat pekerjaan, gaji mahal atau memenuhi permintaan ibu dan ayah, fikirkan berkali-kali dan beristikharahlah dengan si Dia. Setiap pekerjaan yang kita lakukan mesti datang dari hati yang ikhlas dan jujur kerana Allah. 

  Saya berasa amat sedih dan kecewa apabila ada beberapa isu yang timbul di laman media sosial yang menunjukkan sikap-sikap kurang professional pelajar dalam bidang kesihatan dan perubatan ini. Ada yang mengadu domba akan tahap tekanan bekerja dan ada yang mendedahkan maklumat peribadi pesakit. Tidak kurang juga kes-kes "buli", maki dan marah dalam kalangan ahli professional dan pelajar. Hal ini hanya menambahkan ketakutan dalam diri seorang pelajar dan melemahkan potensi diri pelajar untuk lebih berkembang maju. Saya juga tidak ketinggalan menerima pengalaman pahit manis dalam bidang ini. Namun, biarkan ia menjadi satu kenangan dan pengalaman dalam melatih diri untuk menjadi insan lebih baik. 

  Kita jumpa di entri seterusnya, saya akan berkongsi lebih terperinci tentang anatomi telinga dan fungsi-fungsinya. 

  Jumpa lagi. 

















Friday, June 26, 2015

PENGENALAN

Teks : Ros Atiqah Fatin Abdullah 

Assalamualaikum semua. 

  Syukur kepada Allah kerana sekali lagi Dia telah membuka satu lagi laluan untuk saya merealisasikan salah satu impian saya. Sudah lama niat dihati untuk mewujudkan sebuah blog tentang ilmu dan pengalaman dalam bidang Audiology yang dipelajari di universiti. Sebelum saya berkongsi panjang tentang Audiology, lebih manis untuk kita berkenalan dahulu. 

1. Latar belakang peribadi. 

  Nama penuh saya ialah Ros Atiqah Fatin Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Ros oleh teman-teman dan Fatin oleh keluarga. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur sehingga berumur 6 tahun. Ketika berumur 7 tahun, keluarga saya berpindah dan menetap di Kota Bharu, Kelantan sehingga kini kerana ibubapa saya berasal dari Kelantan. Pada 26 Mac 2015, usia saya telah menjangkau 26 tahun. Saat saya menulis entri ini, saya telah pulang dari kota metropolitan hampir 2 minggu dan menetap di Kota Bharu. Antara minat saya adalah berniaga, menulis, dan melancong. Saya juga suka membaca buku-buku motivasi, keagamaan, pembangunan diri, bisnes dan pengurusan. 

  Selain kemahiran dalam bidang Audiology yang dipelajari di universiti, saya juga telah mempelajari satu kemahiran baru iaitu pemasaran internet. Bidang pemasaran internet ni masih amat baru untuk saya. In sha Allah sedikit demi sedikit, saya cuba menguasainya. Namun sebenarnya, impian saya adalah untuk menjadi seorang "work at home mother".  

2. Pendidikan. 




  Pendidikan pertama saya bermula di salah sebuah tadika di Subang Jaya dan sekolah rendah dan menengah di Kota Bharu. Selepas tamat SPM, saya telah diterima masuk ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Sains Kesihatan Bersekutu. Selepas tamat 2 tahun di pusat asasi, saya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda dalam bidang Audiology di UIA kampus Kuantan selama 4 tahun. Di sini saya mula mengenali satu dunia yang berbeza iaitu dunia masyarakat yang cacat pendengaran. Sepanjang 4 tahun di UIA, saya telah belajar dan menjalani latihan industri di Klinik Pendengaran dan Terapi Pertuturan UIA, Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Universiti Sains Malaysia bagi melayakkan diri bergelar seorang pegawai kesihatan pendengaran atau lebih dikenali sebagai "audiologist". 

  Dalam masa yang sama, saya memendam minat yang tinggi dalam dunia perniagaan. Ketika cuti semester atau cuti umum, saya cuba memenuhi aktiviti dengan memasuki kursus-kursus perniagaan yang dianjurkan oleh pihak luar. Di UIA kampus Kuantan, tidak banyak kursus berkaitan perniagaan disebabkan kampus Kuantan berfokus pada kursus Sains dan Perubatan. Setelah tamat pengajian di UIA pada Ogos 2013, saya telah ditawarkan bekerja sebagai audiologist di salah sebuah syarikat swasta. Dalam masa yang sama, saya juga tekad untuk terus mendalami ilmu perniagaan, khususnya perniagaan di Internet. Saya telah mendaftar masuk ke kursus separuh masa Diploma Eksekutif Perniagaan Internet dan Media Sosial yang dianjurkan oleh Irfan Khairi Sdn. Bhd. bersama Aeu University. Dalam kursus selama 9 bulan ini, saya telah didedahkan pelbagai strategi dan teknik asas perniagaan internet termasuk email, blog, website, google, facebook, dan youtube. Kursus ini fokus untuk membina perniagaan secara praktikal dan bukan teori semata-mata. 


3. Pengalaman Kerja.

  Saya mula bekerja sebagai audiologist di sebuah klinik Audiology swasta di Shah Alam. Bekerja sambil belajar berniaga sangat mencabar kekuatan minda dan fizikal. Rutin harian saya sebagai audiologist bukan sahaja terhad di klinik dan melayan pesakit yang datang ke klinik tetapi saya juga bertanggungjawab untuk melaksanakan tugasan di hospital-hospital kerajaan dan swasta yang menjadi pelanggan syarikat kami. Tugasan saya juga banyak memerlukan saya bekerja diluar kawasan. Biasanya, ia melibatkan program kesihatan yang dianjurkan pihak kerajaan dan swasta. 

  Bertugas sebagai audiologist di syarikat swasta juga memberi pengalaman yang unik. Syarikat tempat saya bekerja amat prihatin tentang latar belakang setiap pesakit yang menerima pemeriksaan di klinik kami. Terdapat ramai juga pesakit yang kurang mampu untuk membiayai kos pemeriksaan. Malah, ada sesetengah yang hanya datang sekali sahaja ke klinik kerana tidak mampu membayar kos pengangkutan untuk ke klinik dalam sesi pemeriksaan yang berikutnya. Dalam kes-kes tertentu, telah menjadi satu prosedur untuk kami berkunjung ke rumah pesakit dan menjalankan pemeriksaan yang sewajarnya. Tidak semua rawatan yang sesuai dijalankan di rumah atas faktor kebisingan dan kekurangan alat kelengkapan. Ini kerana pemeriksaan pendengaran memerlukan bilik yang kedap bunyi dan peralatan yang lebih terperinci. 

  Rutin harian berjumpa dengan pesakit dan keluarga yang mempunyai masalah pendengaran, saya dapati masih ramai orang terutamanya ibu bapa yang tidak tahu tentang punca-punca dan kesan-kesan daripada masalah pendengaran ini. Kesedaran untuk mencegah dan merawat masalah pendengaran ini masih di tahap yang minima di negara ini. Pengalaman berhadapan dengan banyak keluarga yang terganggu emosi disebabkan masalah pendengaran ini, menguatkan hati saya untuk berkongsi ilmu tentang kesihatan telinga dan pendengaran dengan lebih luas kepada orang ramai, khususnya ibu bapa. Sebagai langkah pertama, saya memilih medium blog ini. 

4. Matlamat 

  Matlamat saya untuk blog ini adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang Audiology agar laman blog ini dapat menjadi sumber rujukan para ibubapa yang mencari maklumat tentang kesihatan telinga dan pendengaran. 

  Idea ini timbul setelah ramai antara ibu bapa yang datang berjumpa saya di klinik audiology, tidak pernah tahu tentang masalah telinga dan pendengaran. Malah, mereka juga tercari-cari sumber rujukan dalam Bahasa Melayu di internet. 

Semoga usaha yang sedikit ini mendapat keberkatan olehNya. 

Jumpa di entri seterusnya.  :)