Teks: Ros Atiqah Fatin Abdullah
Foto: Google & persendirian.
Foto: Google & persendirian.
Salam & hai semua !
Alhamdulillah berjaya juga untuk menulis entri kedua dalam blog ini. Masa yang Allah beri pada kita adalah sama iaitu 24 jam sehari. Jika kita rasa kita tidak cukup masa untuk menyiapkan banyak tugasan, cuba refleksi diri kita. Mungkin kita ada melakukan kesilapan dalam menguruskan diri dan jadual waktu seharian kita. Ya, saya juga mengalami kesukaran yang sama tetapi sedikit demi sedikit kita cuba untuk berubah menjadi insan yang lebih memanfaatkan masa sebaik mungkin.
In sha Allah...
Baiklah, cukuplah sedikit peringatan untuk diri sendiri dan sahabat yang membaca blog ini tentang masa. Dalam entri ini, saya ingin berkongsi tentang satu pengalaman saya ketika bergelar seorang pelajar Bachelor (Hons) in Audiology. Semasa saya terima tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di UIA, saya ditawarkan dengan kursus pilihan no.3 saya semasa mengisi borang melanjutkan pelajaran. Bila dah nama pun pilihan no.3, itu bermakna saya pun tidak begitu memahami apa kursus ini sebenarnya. Walaupun sedikit kecewa kerana pilihan no.1 saya iaitu kursus "Nutrition and Dietetic" tidak kesampaian, saya cuba berfikiran positif sahaja dan terima seadanya. Saya berpegang pada prinsip hidup "belum cuba, belum tahu" dan sentiasa cuba untuk berfikiran positif.
Dalam minggu orientasi pelajar baru, kami dibahagikan mengikut kursus masing-masing. Ketika sesi pengenalan pelajar bersama pensyarah-pensyarah ini, barulah saya memahami apa maksud "Audiology" dan apa yang akan saya belajar nanti. Ia sangat penting kerana pelajaran ini sedikit sebanyak menentukan hala tuju hidup saya selepas ini.
"Audiology" berasal dari gabungan perkataan Latin dan Greek yang bermaksud "untuk mendengar". Ia adalah satu bidang Sains yang mengkaji tentang pendengaran, keseimbangan badan, dan penyakit yang berkaitan dengannya. Pelatih atau pengamal perubatan dalam bidang "Audiology" ini dipanggil "Audiologist" atau Pegawai Kesihatan Pendengaran. "Audiologist" adalah pakar dalam mengenalpasti, merawat dan menganalisa masalah pendengaran dan penyakit yang berkaitan dengannya. Namun, ia berbeza dengan doktor pakar perubatan dalam unit Telinga, Hidung dan Tekak (ENT). "Audiologist" dan doktor pakar ENT bekerjasama dalam menyelesaikan masalah kesihatan yang saling berkait rapat menggunakan kepakaran masing-masing. Boleh dikatakan kami macam adik-beradik. Pensyarah-pensyarah saya juga terdiri daripada "Audiologists" dan doktor pakar ENT.
Kenangan semasa tahun kedua belajar audiology dan ia kali pertama saya didedahkan dengan peralatan audiology dalam bilik ujian kedap bunyi. |
Agak merumitkan juga kan? Jadi, apa kerja sebenar "Audiologist" ni? Masih ada yang kurang faham dan mata terkebil-kebil membaca penerangan tadi? Pendek cerita, kami memeriksa, merawat, mencegah dan menganalisa tahap pendengaran dan keseimbangan badan pesakit. Ada yang boleh mendengar dengan baik dan ada yang pekak. Malah, ia mungkin juga berkaitan dengan pelbagai penyakit lain. Itulah rutin seharian kami di klinik-klinik ataupun hospital-hospital kerajaan dan juga swasta.
Oleh sebab kerjaya kami sebagai pegawai kesihatan, kami tidak mempunyai uniform seperti jururawat. Pesakit dan orang awam melihat kami sama seperti doktor-doktor perubatan yang lain walaupun kami tidak bergelar doktor. Situasi yang sama berlaku jika "audiologist" bekerja di klinik swasta atau dipanggil sebagai pusat alat bantu pendengaran. Ada juga pesakit-pesakit yang bertanyakan tentang masalah-masalah kesihatan diluar bidang kami. Itu antara kenangan manis bergelar pegawai kesihatan pendengaran. Walaupun kita hanya belajar dalam satu bidang, kita juga harus peka dengan masalah-masalah lain. Ia menjadikan kita seorang yang lebih professional dan fleksibel. Namun, jika ia diluar pengetahuan ilmu kita, jangan pula kita memandai-mandai untuk memberi jawapan yang tidak pasti kerana ia mungkin membahayakan nyawa pesakit. Biasanya, saya akan menjawab dengan jujur sahaja pada pesakit yang bertanyakan soalan diluar bidang saya.
Contoh ujian ke atas kanak-kanak dibawah 5-6 tahun. |
Kerjaya di bidang kesihatan ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Terdapat sesetengah mentaliti masyarakat yang sering mengatakan, "anak saya tak dapat sambung belajar di universiti, dia belajar kolej kursus jururawat jer." Tahukah anda betapa besarnya tanggungjawab seorang jururawat atau sesiapa sahaja di dalam bidang kesihatan dan perubatan ini? Ini kerana kami seolah-olah "bermain" dengan nyawa manusia. Oleh sebab itu, bakal lepasan SPM yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kesihatan dan perubatan, tidak kira kursus apapun, ikhlaskan hati dan banyak bersabar. Tidak semua orang mampu mengharungi cabaran dalam bidang ini. Ia memerlukan daya fizikal, mental dan emosi yang sangat kental dan kuat. Belajar mencabar dan alam pekerjaan lagi mencabar. Jika kita hanya ingin belajar dalam bidang ini semata-mata untuk senang mendapat pekerjaan, gaji mahal atau memenuhi permintaan ibu dan ayah, fikirkan berkali-kali dan beristikharahlah dengan si Dia. Setiap pekerjaan yang kita lakukan mesti datang dari hati yang ikhlas dan jujur kerana Allah.
Saya berasa amat sedih dan kecewa apabila ada beberapa isu yang timbul di laman media sosial yang menunjukkan sikap-sikap kurang professional pelajar dalam bidang kesihatan dan perubatan ini. Ada yang mengadu domba akan tahap tekanan bekerja dan ada yang mendedahkan maklumat peribadi pesakit. Tidak kurang juga kes-kes "buli", maki dan marah dalam kalangan ahli professional dan pelajar. Hal ini hanya menambahkan ketakutan dalam diri seorang pelajar dan melemahkan potensi diri pelajar untuk lebih berkembang maju. Saya juga tidak ketinggalan menerima pengalaman pahit manis dalam bidang ini. Namun, biarkan ia menjadi satu kenangan dan pengalaman dalam melatih diri untuk menjadi insan lebih baik.
Kita jumpa di entri seterusnya, saya akan berkongsi lebih terperinci tentang anatomi telinga dan fungsi-fungsinya.
Jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment